Pahang anjur perlumbaan kanu antarabangsa September ini

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/981040/pahang-anjur-perlumbaan-kanu-antarabangsa-september-ini

KUANTAN: Pahang akan menganjurkan perlumbaan kanu terbesar di negara ini yang bertaraf antarabangsa iaitu Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022 yang berlangsung selama lima hari bermula 7 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata perlumbaan yang dijangka disertai 500 peserta dari dalam dan luar negara itu juga difahamkan yang kali pertama diadakan di rantau Asia Tenggara.

“Perlumbaan sejauh kira-kira 74 kilometer ini mempunyai lima peringkat bermula di Pantai Hiburan di Rompin dan Pantai Lagenda di Pekan selain Pantai Balok, Pantai Cherating serta Pantai Teluk Cempedak di Kuantan. Laluan paling mencabar ialah di Pantai Teluk Cempedak kerana sepanjang 18 kilometer (km) berbanding lokasi lain yang masing-masing sejauh 14 km.

“Menariknya perlumbaan ini akan berlangsung tanpa mengira keadaan cuaca kerana dianggap sebagai satu daripada cabaran yang perlu dihadapi peserta dalam menamatkan perlumbaan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran acara itu di Menara Kuantan 188 di sini hari ini.