Lima pantai di Pahang bakal jadi tumpuan dunia

KUANTAN: Pahang bakal menjadi tumpuan dunia apabila acara sukan kanu bertaraf dunia, Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022 akan diadakan di lima pantai sekitar negeri ini bermula 7 hingga 11 September depan. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, antara pantai terlibat ialah Pantai Hiburan, Rompin, Pantai Lagenda, Pekan, Pantai Cherating, Pantai Balok dan Teluk Cempedak di sini yang menjadi venue perlumbaan kanu terbesar serta julung kali dianjurkan di rantau Asia Tenggara. “Sebab itu juga kita memilih pantai yang menarik untuk mereka datang ke sini selain melihat perlumbaan kanu sekali gus dapat mempromosi Pahang kepada dunia luar,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 bertempat di Kuantan 188, di sini pada Rabu.